LATEST NEWS

Saturday, August 24, 2013

Kursus Pengurusan Jenazah 2013

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Kematian bermaksud diamnya jiwa dan terpisahnya roh dari jasad. Kematian adalah sesuatu yang pasti bagi setiap yang hidup di atas muka bumi ini kerana ia adalah titik permulaan kepada penghidupan yang kekal abadi.  Kematian tidak akan menjemput manusia sebelum tibanya ajal.

"...Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan-Nya"
Surah Yunus : 49

Coretan kali ini berkisahkan tentang program Kursus Pengurusan Jenazah anjuran persatuan Meltech yang telah berlangsung pada 18 Mei 2013 bertempat di Dewan Serbaguna Angsana. 


Kursus ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta tentang cara-cara pengurusan jenazah yang betul. Pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah kepada umat Islam iaitu sekiranya sebahagian anggota masyarakat melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu, tetapi sekiranya tiada seorang pun yang melakukannya maka berdosalah seluruh masyarakat di kawasan itu. 

Para peserta diajar secara terperinci cara-cara untuk memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah
Orang yang paling berhak dan lebih afdal untuk menguruskan jenazah ialah ahli keluarga atau waris yang terdekat. 

Tindakan awal apabila berlakunya kematian
  • Menutup mata jenazah dan mulutnya diikat dari bawah dagu hingga atas kepala dengan kain bersih supaya tidak terbuka.
  • Melembutkan sendi-sendi anggota mayat supaya mudah dimandi dan dikafankan.
  • Meletakkan sesuatu yang sederhana berat diatas perut jenazah supaya tidak kembung.
  • Menutup tubuh badan mayat agar auratnya tidak terdedah.
  • Jenazah diletakkan meghadap kiblat dengan kedua-dua tangannya diletakkan diatas dada.

Pengurusan jenazah merupakan penghormatan yang terakhir kepada jenazah

Sifat yang perlu ada pada orang yang menguruskan jenazah ialah berani, sabar, amanah serta mempunyai kemahiran dan ilmu yang cukup

Memandikan jenazah
Jenazah dimandikan untuk meratakan air keseluruh anggota tubuh jenazah bertujuan untuk menghilangkan najis serta mengangkat hadas supaya suci dan bersih. Jenazah yang wajib dimandikan ialah jenazah yang tidak gugur dalam peperangan dengan orang kafir.

Mengkafankan jenazah
Mengkafankan jenazah bertujuan untuk menutup seluruh tubuh jenazah bagi tujuan menjaga maruah dan kehormatan jenazah. Afdal bagi jenazah lelaki dikafankan dengan tiga lapis kain putih manakala lima lapis kain putih bagi jenazah perempuan.


Proses mengkafankan jenazah

Kain kafan disunatkan berwarna putih, bersih, kering, wangi dan menutupi seluruh tubuh

Mensolatkan jenazah
Mensolatkan jenazah merupakan solat yang dilakukan oleh orang yang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia. Syarat sah bagi solat jenazah ialah jenazah telah dimandikan, jenazah telah dikafankan, menghadap kiblat dan jenazah berada dihadapan orang yang solat jenazah. 

Solat jenazah

Mengebumikan jenazah
Selepas selesai disolatkan, jenazah perlulah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Kedalaman liang lahad adalah lebih kurang 2 meter untuk menutupi bau busuk jenazah dan mengelakkan jenazah dari dimakan oleh binatang buas ataupun burung. Jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad dengan berhati-hati dan diletakkan mengiring diatas rusuk kanan menghadap kiblat. Orang yang datang menhantar jenazah ke tanah perkuburan disunatkan untuk berdoa memohon keampunan ke atas jenazah.

Antara peserta lelaki yang menyertai Kursus Pengurusan Jenazah

Kursus ini telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu slot 1 (ceramah) dan slot 2 (sesi praktikal). Sesi ceramah telah berlangsung di Dewan Serbaguna Angsana. Semasa sesi ceramah, para peserta didedahkan tentang cara-cara pengurusan jenazah secara teori.

Bagi sesi praktikal pula, para peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan lelaki dan kumpulan perempuan. Bagi peserta lelaki, sesi praktikal dilakukan di Ruang Solat Utama Angsana manakala peserta perempuan pula di dalam Dewan Serbaguna Angsana. Dua orang wakil (seorang peserta lelaki dan seorang peserta perempuan) dipilih untuk menjadi model (jenazah) untuk memudahkan sesi pembelajaran. 

Penyediaan kain kafan

Para peserta khusyuk mendengar penjelasan dari tenaga pengajar

Bimbingan dari tenaga pengajar

Para peserta diberi peluang untuk mengkafankan jenazah



Sedikit cenderahati kepada tenaga pengajar

Pengarah Program (saudara Izzat Basri) selaku pengarah program kursus pengurusan jenazah

Iman al-Termizi telah mengeluarkan hadith riwayat Shidad bin Aus katanya;
sabda Nabi s.a.w." الكيس من دان نفسه ، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من اتبع نفسه هواها ، وتمنى على الله "
Ertinya; “Orang yang sempurna akalnya ialah orang yang sentiasa memeriksa dirinya, dan beramal untuk bekal sesudah mati, sedangkan orang yang lemah akalnya ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, dan  bercita-cita untuk mendapat  keredaan  Allah tanpa beramal”.

Pengurusan jenazah yang sempurna merupakan suatu penghormatan dan khidmat yang terakhir kepada insan yang pulang menghadap Tuhan. Kita perlulah sentiasa mengingati tentang kematian agar dapat dijadikan sebagai iktibar dan pengajaran. Mengingati mati boleh menerbitkan rasa insaf dan mendorong kita untuk berubah menjadi insan yang lebih baik. InsyaAllah...

“Demi Allah, seandainya jenazah yang sedang kamu tangisi boleh berbicara, lalu menceritakan (pengalaman sakaratul mautnya) pada kamu sekalian, nescaya kamu akan melupakan jenazah tersebut dan mulai menangisi dirimu sendiri.” 
-Imam Al-Ghazali

Semoga program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Bimbingan serta panduan yang telah diberikan kepada para peserta tentang cara-cara pengurusan jenazah yang betul serta mengikut syariah Islam diharapkan dapat dimanfaatkan pada masa akan datang.


"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai kematian dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."
Surah Ali Imran (3) : 185

0 comments: